Apakah maksud fasakh?



Apakah maksud fasakh?

Fasakh dari segi bahasanya bermaksud 'batal' ataupun 'bubar'. Fasakh al-nikah membawa maksud 'membatalkan atau membubarkan ikatan pernikahan antara seorang suami dengan isterinya kerana sebab-sebab tertentu yang menghalang kekalnya perkahwinan tersebut'.

Alasan-alasan untuk fasakh pernikahan 

1. Kecacatan atau keaiban
Menurut Kamus Dewan Bahasa Pustaka aib diertikan sebagai satu perkara yang menjijikkan pada diri seseorang yang boleh menimbulkan rasa malu sekiranya diketahui ramai. Dalam urusan suami isteri, aib didefinisikan sebagai kecacatan yang berlaku kepada pihak suami atau isteri, terutamanya yang melibatkan alat kelamin yang boleh menjadi penyebab kepada tidak tercapainya objektif persetubuhan dalam pernikahan.

Jenis-jenis penyakit yang boleh dikategorikan sebagai keaiban, antaranya :
a. Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Yusuf : suami menghidap impotens ('unnah) dan terpotong zakar (jabb)
b. Imam Muhammad ibn Hasan : gila, sopak dan kusta
c. Mazhab Shafie : terpotong zakar (jabb), impotens ('unnah), gila, sopak, kusta, tertutup alat kelamin dengan daging bagi perempuan (ratqa'), tertutup alat kelamin wanita dengan tulang (qarna')
d. Al-Syirbini : kusta

Siapa berhak menuntut fasakh atas alasan keaiban?
Jumhur fuqaha' menyatakan bahawa hak untuk menuntut fasakh atas alasan keaiban berada di tangan kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri.

2. Suami tidak membayar nafkah

Menurut jumhur fuqaha' tanggungjawab untuk memberi nafkah berada di tangan suami kerana suami adalah ketua keluarga dan wajib menjaga kebajikan isterinya walaupun isteri tersebut seorang yang kaya dan mampu menanggung dirinya sendiri.

Rasulullah saw bersabda apabila ditanya oleh sahabat : "Ya Rasulullah, apakah hak seseorang isteri ke atas seseorang kami?' Jawab Baginda : Sesungguhnya hendaklah memberi makan apabila kamu makan dan beri pakaian apabila kamu pakai" (Riwayat Abu Daud).

3. Suami ghaib atau menghilangkan diri

Kebanyakan fuqaha' menggunakan perkataan mafqud yang bererti orang yang hilang dan al-faqid bermaksud perempuan yang kehilangan suami atau anaknya dengan sebab kematian.

Al-Marghinani : Suami yang mafqud ialah seorang yang hilang dan tidak diketahui di mana ia berada. Orang lain tidak mengetahui sama ada dia masih hidup ataupun telah mati atau di mana tempat dia tinggal.

Dr Abdul Karim Zaidan : Suami yang ghaib bermaksud suami yang hilang daripada tempat yang didiami bersama isteri sama ada dengan bersebab seperti keluar menuntut ilmu ataupun tanpa sebarang sebab seperti saja-saja atau sengaja meninggalkan isterinya serta meninggalkan tanggungjawabnya terhadap keluarga.

4. Suami dipenjara

Mazhab Maliki : Isteri berhak menuntut cerai. Mereka menyamakan kedudukan suami dipenjara atau menjadi tahanan dengan kedudukan suami hilang atau ghaib.

5. Suami melakukan penganiayaan ke atas isteri (darar)

Darar dari segi bahasa bererti apa sahaja yang dianggap buruk dan kefakiran atau membawa kesusahan diri, iaitu lawan kepada benda yang bermanfaat.

Imam al-Dardir : Suami melakukan sesuatu yang tidak diharuskan oleh Syarak seperti meninggalkan isteri tanpa sebab atau memukulnya tanpa sebab atau menghina isteri atau menghina keturunan isteri.

Al-Syatibi : Penganiayaan suami ke atas isteri yang melibatkan lima perkara asas maslahah dharuriyah iaitu apa sahaja penderaan atau penganiayaan melibatkan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta isteri.

Al-Dusuqi : Panggilan suami kepada isterinya yang bersifat menghina dan tidak wajar seperti 'Wahai perempuan anak orang yang dilaknat', 'Wahai anak anjing', 'Wahai perempuan sial' dengan niat untuk menghina dan menjatuhkan maruah isteri atau menghina ibu bapa isteri, menjatuhkan kedudukan dan maruah isteri, keluarga dan keturunannya.

Al-Dusuqi : Perbuatan darar ialah suami menyakiti isteri dengan perbuatan kasar sama ada menggunakan tangan atau alat-alat lain seperti memukul, menampar dengan tangan atau kayu sehingga menyebabkan luka, lebam-lebam, patah, cedera dan sebagainya, atau suami meninggalkan isteri dan enggan melakukan persetubuhan tanpa apa-apa sebab yang diharuskan Syarak atau melakukan ila'. Suami yang tidak mahu bertegur sapa atau enggan berbual dengan isterinya atau suami berpaling muka dari isterinya di atas katil dengan tujuan untuk mendera juga dianggap sebab darar.


Peruntukan Undang-Undang Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 :

Seksyen 53. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

(1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu—
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih; 
(d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali Mujbirnya sebelum ia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain—
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
(iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;
(v) menghalang isteri atau suami dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya;
(vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;
(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguh pun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31/52] dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
(2) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri atau suami menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan. 

(3) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami atau isteri telahpun menjalani satu tahun dari hukuman itu.

(4) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh satu tahun dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.

(5) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkahlaku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.

Comments