Bila boleh tuntut Harta Sepencarian?
Peruntukan Undang-Undang :
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
Seksyen 58. Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian
(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian kepada—
- (a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset itu;
- (b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
- (c) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,
(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada—
- (a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;
- (b) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,
(5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan mengenai aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan termasuklah aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.
Ada berapa kategori Harta Sepencarian?
Berdasarkan peruntukan di atas, terdapat 3 kategori Harta Sepencarian iaitu :
1. Harta yang diperolehi oleh suami isteri semasa perkahwinan dengan usaha bersama mereka
2. Harta yang diperolehi oleh suami isteri semasa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak
3. Harta yang dimiliki oleh satu pihak sebelum perkahwinan dan telah dimajukan semasa perkahwinan secara usaha bersama atau diusahakan oleh satu pihak lagi satu
Bila boleh tuntut Harta Sepencarian?
1. Berlaku Perceraian
Seksyen 58 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984
Kes : Norlia binti Abd Aziz lwn Md Yusuf bin A. Rahman
Plaintif menuntut Harta Sepencarian ke atas Defendan, dan menuntut satu perdua daripada harta sepencarian tersebut terhak kepada beliau.
Harta-harta tersebut ialah :
a. sebuah rumah teres bernilai RM260,000
b. sebuah kereta Wira bernilai RM40,000
c. sebuah motorsikal Honda bernilai RM750
Defendan membuat tuntutan balas terhadap Plaintif menuntut sebuah kereta Kancil sebagai harta sepencarian.
Pihak-pihak mencapai persetujuan bahawa sebuah kereta Wira bernilai RM40,000 dan sebuah motorsikal Honda bernilai RM750 diserahkan kepada Defendan, manakala sebuah kereta Kancil diserahkan kepada Plaintif.
Berkenaan sebuah rumah teres bernilai RM260,000, Mahkamah memutuskan ia sebagai harta sepencarian dengan sabit pembahagian 1/3 daripada nilai rumah kepada Plaintif kerana Plaintif turut menyumbang kepada pemerolehan harta tersebut.
Semasa peringkat Rayuan di Mahkamah, Mahkamah memutuskan Responden/Plaintif mendapat 1/6 bahagian daripada jumlah nilai rumah kerana kekurangan saksi-saksi yang relevan untuk menyokong tuntutan harta sepencarian.
2. Selepas Kematian
Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 18 April 2005 berbunyi :
i. Harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan di Negeri Selangor boleh dibahagikan kepada suami dan isteri sebelum difaraidkan, termasuk selepas dilepaskan tanggungan si mati.
ii. Pembahagian harta sepencarian tersebut hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari kedua-dua belah pihak
iii. Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah Mahkamah
3. Permohonan Poligami
Isteri boleh memohon agar harta yang diperolehi sepanjang tempoh perkahwinan diisytiharkan dan dibahagikan sebagai harta sepencarian semasa permohonan poligami atau selepas isteri mengetahui bahawa suami telah berkahwin lain. Ini adalah untuk menjaga hak dan kepentingan isteri sedia ada dan menjamin kehidupan beliau.
Comments
Post a Comment