7 Tips Hadapi Dilema Perpisahan
Adakah anda mengalami perkara-perkara ini?
1. Saya nak berpisah. Saya dah tak sanggup nak meneruskan perkahwinan ini tapi saya tak tahu sama ada keputusan saya ini adalah keputusan yang tepat. Saya bimbangkan anak-anak saya. Saya bimbang jika saya tak mampu nak lalui hidup keseorangan.
2. Saya tak nak berpisah tapi pasangan saya nak berpisah. Apa yang perlu saya lakukan? Apa salah saya? Apa kekurangan saya? Apa yang perlu saya buat untuk mempertahankan rumahtangga ini? Kenapa pasangan saya ingin berpisah? Adakah rumahtangga saya masih boleh diselamatkan lagi?
3. Saya nak berpisah kerana jika saya teruskan perkahwinan ini, saya tak yakin lagi kami akan bahagia. Saya telah melakukan segala yang mampu untuk mempertahankan rumahtangga ini. Saya merasa sangat letih. Saya tak dapat menumpukan perhatian terhadap anak-anak dan kerjaya saya. Banyak urusan terbengkalai. Fikiran saya sangat serabut. Saya merasa tidak tenang dan tertekan.
Apa yang anda perlu lakukan untuk memecah kebuntuan?
7 Tips dikongsikan di sini.
1. Realiti Perceraian
Bayangkan realiti perceraian yang akan anda lalui. Kesan terhadap aspek kewangan, anak-anak, keluarga, rakan taulan dan kehidupan secara keseluruhannya. Jika anda membuat pilihan untuk berpisah, maka tulislah persediaan-persediaan yang perlu dilakukan dan perubahan yang anda akan lalui. Lihatlah pilihan yang ada.
2. Kaunseling Perkahwinan
Sebelum meneruskan tindakan, sebaiknya anda bersama pasangan anda mendapatkan kaunseling atau terapi perkahwinan daripada pakar. Kenalpasti masalah dalam rumahtangga. Adakah masih boleh diperbaiki? Jika isunya adalah disebabkan 'personality disorder' pasangan, adakah masih boleh dirawat? Berapa lama tempoh rawatan? Adakah anda mampu untuk melaluinya sepanjang tempoh pasangan anda bersetuju untuk menerima rawatan?
3. Kaunseling Kewangan
Jika sekiranya keretakan hubungan anda disebabkan oleh masalah kewangan, dapatkan pandangan berkenaan kedudukan kewangan anda daripada pakar kewangan. Apakah masih boleh dibaiki?
4. Komunikasi Pasangan
Maklumkanlah pasangan anda apa yang anda fikirkan, apa yang anda rasa, pandangan anda terhadap rumahtangga. Katakan bahawa anda masih menyayangi beliau. Luahkan secara baik. Elakkan daripada mencari salah pasangan. Cari titik pertemuan yang mana anda hendak memperbaiki diri dan mengukuhkan ikatan kasih sayang. Ajak pasangan secara baik untuk memperbaiki diri dan mencapai tujuan perkahwinan. Jika rumahtangga anda tidak melibatkan isu keganasan rumahtangga dan efek keselamatan diri, maka sebaiknya mencari jalan penyelesaian secara baik. Jika anda memilih untuk berpisah, maka nyatakan secara baik hasrat anda untuk berpisah kepada pasangan anda.
5. Pihak Ketiga Yang dihormati
Anda juga boleh menggunakan khidmat pihak ketiga yang pasangan anda hormati. Pihak ketiga tersebut bolehlah di kalangan ahli keluarga anda atau sahabat anda.
6. Kaunseling Pejabat Agama
Anda juga boleh berjumpa dengan Kaunselor di Pejabat atau Jabatan Agama untuk mendapatkan pandangan dan khitmat nasihat.
7. Peguam Mahkamah Syariah
Anda boleh berhubung dengan Peguam Mahkamah Syariah untuk mendapatkan khidmat nasihat, prosedur Mahkamah dan bayaran guaman.

Comments
Post a Comment