Cerai Hakam - Cerai Mudah Jaga Maruah?



Cerai Hakam - Cerai Mudah Jaga Maruah?

Suami atau isteri yang ingin berpisah tetapi pasangan tidak bersetuju untuk bercerai terasa buntu dan sangat tertekan. Mereka ingin menjaga nama baik, maruah dan aib pasangan, tetapi pada masa yang masa sudah tidak boleh lagi hidup serumah atas pelbagai alasan.

Adakah cara mudah untuk berpisah dan tetapi masih menjaga kerahsiaan rumahtangga kedua-dua pihak?

Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :
"Seorang suami atau seorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan surat akuan yang mengandungi..."

Prosedur cerai ini tidak mengenepikan hak suami untuk melafazkan talaq, di samping mengelakkan berlaku penganiayaan dan darar ke atas mana-mana pihak yang juga dibenci oleh Islam.

Jika salah satu pihak tidak bersetuju untuk berpisah secara persetujuan bersama, maka Mahkamah boleh melantik Jawatankuasa Pendamai. Jika pihak-pihak enggan berdamai, Mahkamah boleh melantik Hakam jika berlaku shiqaq yang diberi kuasa untuk menjatuhkan talaq.

Mengikut peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 peranan Hakam diperlukan apabila pihak-pihak yang bertikai iaitu suami atau isteri tidak mencapai persetujuan untuk berdamai. Jawatankuasa Pendamai gagal mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk suami atau isteri untuk berbaik semula dan Mahkamah juga tidak dapat memujuk suami untuk melafazkan talak.

Fungsi Jawatankuasa Pendamai ialah untuk mendamaikan pertikaian antara suami dan isteri. Jawatankuasa Pendamai akan dipengerusikan oleh seorang Pegawai Agama di Jabatan Agama Islam dan dua orang yang lain terdiri daripada ahli keluarga pihak yang bertikai atau saudara karib atau sahabat rapat.

Apabila Jawatankuasa ini telah menyempurnakan tugasnya dan ia gagal untuk mendamaikan pihak-pihak yang bertikai untuk hidup semula sebagai suami isteri, maka Mahkamah hendaklah menasihati suami agar melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah. Jika suami tidak hadir ke Mahkamah untuk melafazkan talaq atau enggan menceraikan isterinya, maka Mahkamah akan melantik Hakam bagi tindakan seterusnya.

Seksyen 48(1) memperuntukkan :
Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, maka Mahkamah boleh melantik mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbang tara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.

Seksyen 48(2) menyebut :
Pada melantik Hakam di bawah subseksyen (1) Mahkamah hendaklah jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu. 

Setelah lafaz talaq oleh suami atau Hakam yang dilantik, maka pihak-pihak boleh serah Perintah Cerai bersama dokumen-dokumen asal yang dikehendaki ke Pejabat Agama Negeri untuk mendapatkan Sijil Cerai.

Comments