𝗜𝘀𝘁𝗲𝗿𝗶 𝗯𝗲𝗿𝗸𝗲𝗿𝗷𝗮𝘆𝗮 : 𝗡𝗮𝗳𝗸𝗮𝗵 𝘁𝗮𝗻𝗴𝗴𝘂𝗻𝗴𝗷𝗮𝘄𝗮𝗯 𝘀𝗶𝗮𝗽𝗮?



𝗜𝘀𝘁𝗲𝗿𝗶 𝗯𝗲𝗿𝗸𝗲𝗿𝗷𝗮𝘆𝗮 : 𝗡𝗮𝗳𝗸𝗮𝗵 𝘁𝗮𝗻𝗴𝗴𝘂𝗻𝗴𝗷𝗮𝘄𝗮𝗯 𝘀𝗶𝗮𝗽𝗮?

𝘚𝘬𝘦𝘵𝘴𝘢 𝘙𝘶𝘮𝘢𝘩𝘵𝘢𝘯𝘨𝘨𝘢 𝘱𝘢𝘴𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘮𝘶𝘥𝘢

Suatu petang, sambil minum kopi dan menjamah kuih seri muka di taman kecil di rumah teres, Azrul bersuara membuka pintu perbincangan dengan isterinya, Erida.
"Ayang dah kerja, gaji ayang pun boleh tahan juga.
Hmmm apa kata bil ansuran rumah ayang bayar.
Duit kereta abang bayar.
Bil-bil rumah ayang bayar.
Yuran sekolah anak-anak nanti abang bayar"
Erida terdiam seketika dan meletak cawan kopi perlahan.
"Bagus juga cadangan abang tu.
Hmm rumah ni nama abang seorang.
Kereta ayang selama ni ayang yang bayar.
Jadi kereta abang tentulah abang bayar"
Erida terhenti dan tersenyum. Azrul tersenyum kelat. Erida menyambung perlahan.
"Anak kita baru seorang bang, Sofia. Itupun baru 1 tahun umurnya.
Ayang cadang duit rumah abanglah bayar ya.
Bil-bil rumah dan duit dapur setakat tinggal bertiga bukannya banyak pun abang.
Ayang boleh bantu abang bayar duit nursery, beli susu dan pampers Sofia.
Nafkah ayang abang jangan lupa ya.
Abang transfer aje masuk akaun ayang macam biasa.
Ayang nak simpan."
Azrul tersenyum dan mengangguk-angguk. 
"Abang gurau aje. Abang mampu lagi lah nak tanggung ayang dan anak kita"
Azrul mengerti akan tanggungjawabnya sebagai Ketua Keluarga. Azrul memegang tangan isterinya dengan penuh kasih sayang.
"Ok lah ayang. Terima kasih ayang sudi berbincang dengan abang. Terima kasih ayang membantu abang mengendalikan rumahtangga kita. Moga dibukakan pintu-pintu rezeki buat kita".



Itulah realiti pasangan muda sekarang ini apabila kedua-duanya bekerja. Ramai wanita yang bekerja dengan pelbagai alasan. Ramai juga wanita yang memilih untuk bekerja dari rumah, membuat perniagaan online sambil menguruskan rumahtangga dan anak-anak.

Semuanya hendaklah berasaskan persepakatan dan persetujuan bersama antara suami dan isteri. Suami juga tidak boleh menganggap dengan kerelaan isteri untuk bekerja maka tanggungjawabnya untuk memberi nafkah kepada isteri sudah terlepas.

Ketentuan syariat nafkah keluarga terdapat dalam Surah al-Talaq ayat 7 yang bermaksud “Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah menurut kemampuannya. Barang siapa yang sempit (sedikit) rezekinya, hendaklah memberi nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tiada memberati diri seseorang, melainkan menurut yang diberikan Allah kepadanya. Nanti Allah mengadakan kemudahan sesudah kesukaran”.

Islam tidak melarang isteri bekerja membantu suami bagi tujuan itu, namun perlu disematkan bahawa tanggungjawab sebenar bagi menyara keluarga masih tetap dipikul dan di atas pundak suami dan isteri adalah sekadar membantu serta melengkapi keperluan keluarga yang masih kurang. Sekiranya isteri bekerja dan dengan kerjanya itu mendapat izin suaminya, maka wang hasil yang diperolehi oleh isteri tadi adalah hak milik mutlak isteri dan suami tidak mempunyai hak untuk meminta wang gaji isterinya itu.

Sebaliknya jika suami meminta wang gaji isteri dan isteri memberikannya dengan rela hati tanpa sebarang paksaan dengan niat untuk membantu suami ia tidak dianggap sebagai hutang kerana pemberian itu bukan atas dasar paksaan suami. Bahkan perkara ini sangat digalakkan kerana wujudnya sifat tolong menolong di antara suami isteri demi kebahagiaan keluarga. Sekiranya suami meminta duit dari isteri dengan cara memaksa dan tanpa kerelaan isteri sendiri, isteri berhak untuk menuntut duit itu daripada suami kerana ia dianggap sebagai hutang.

Ibnu Adi berkata, “Daud bin Abu Hindun berpuasa selama 40 tahun. Selama itu pula, keluarganya tidak mengetahui jika beliau selalu berpuasa. Beliau bekerja sebagai penjahit. Setiap pagi hari membawa bekal yang telah dipersiapkan keluarganya, dan ia senantiasa menyedekahkannya. Beliau pulang pada sore hari, maka ketika itulah beliau berbuka bersama keluarganya.” (Al-Hilyah, 3/94).

Keputusan Fiqh Dunia menyatakan Islam membenarkan isteri bekerja tetapi semua kebenaran tadi adalah diikat dengan syarat-syaratnya.

Keharusan ini termasuk dalam umum sebagai firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Bagi lelaki bahagian yang ia usahakan dan bagi wanita bahagian yang ia usahakan." (Suran An Nisa' : 32)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tiada seorang pun yang makan lebih baik dari orang yang makan hasil dari tangannya sendiri” (Riwayat, Al-Bukhari, no 1966, Fath Al-bari, 4/306).

Justeru, bekerja dan mencari nafkah adalah wajib bagi lelaki yang tiada sebarang keuzuran tubuh dan akal bagi menanggung isteri dan keluarganya.

Manakala wanita pada asasnya, hukum Islam meletakkannya untuk berperanan di rumah dan keluarga bagaimanapun wanita tidak dilarang bekerja di luar rumah jika terdapat keperluan serta mampu menepati syarat-syarat yang ditetapkan Islam. Isu ini tidak dibincangkan meluas di zaman Nabi atau sahabat kerana terlalu kurang keperluan untuk itu pada zaman tersebut (Nizam Al-Usrah, Dr Uqlah Al-Ibrahim, 2/280).

Keputusan Majlis Fiqh Sedunia dalam persidangan yang ke-16 bertempat di Dubai pada 9-14 April 2005 telah membuat ketetapan seperti berikut :-

1. Pemisahan tanggungan harta di antara suami isteri 
Isteri mempunyai kelayakan sepenuhnya dan hak harta yang tersendiri. Menurut hukum Shariah, isteri mempunyai hak penuh terhadap (harta) yang diusahakan, samada untuk menggunakannya, memiliki sesuatu, membelanjakannya sementara suami tidak punyai sebarang berkuasa ke atas harta isterinya itu. Isteri juga tidak perlu mendapat izin suami dalam pemilikan hartanya itu dan cara belanjakannya.

2. Nafkah perkahwinan 
Seorang isteri berhak menerima nafkah yang telah ditetapkan mengikut kemampuan suami bersesuaian dengan uruf yang benar juga kebiasaan masyarakat setempat yang diterima syara'. Kewajipan memberi nafkah ini tidak gugur kecuali jika berlaku nusyuz (di pihak isteri).

3. Isteri keluar bekerja 
Tanggungjawab asas bagi seorang isteri ialah mengurus keluarga, mendidik anak-anak dan memberi sepenuh perhatian terhadap generasi masa depan itu. Walaubagaimanapun, di ketika perlu, isteri berhak untuk bekerja dalam bidang yang bersesuaian dengan tabiat dan kemahirannya menurut uruf yang diiktiraf syara' dengan syarat hendaklah dia beriltizam (menjaga) hukum-hukum agama. Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri yang berkerja tidak gugur menurut Islam, selagi mana tidak berlaku ketika keluarnya isteri tersebut untuk bekerja menyebabkan berlakunya isteri 'nusyuz', tatkala itu gugur kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya yang nusyuz.

4. Isteri turut serta membiayai perbelanjaan keluarga
Menurut pandangan Islam, dari awal mula lagi, isteri tidak wajib berkongsi peranan membiayai nafkah (perbelanjaan) yang diwajibkan ke atas suami. Suami juga tidak harus mewajibkan isteri membantunya (dengan bekerja). Kerelaan seorang isteri untuk turut berperanan membantu perbelanjaan keluarga merupakan suatu perkara dibenarkan menurut pandangan syara' demi menjayakan makna bantu membantu dan bertolak ansur di antara suami isteri. Diharuskan untuk membuat persefahaman dan persepakatan di antara suami isteri akan cara pengurusan pendapatan mereka termasuk pendapatan yang diperolehi oleh isteri.

5. Kerja Sebagai Syarat
Seorang isteri dibenarkan untuk meletakkan syarat pada akad perkahwinannya bahawa ia hendaklah dibenarkan bekerja, apabila suami redha dengan syarat itu, ia menjadi kemestian baginya untuk membenarkan (setelah kahwin). Syarat itu hendaklah dinyatakan secara jelas ketika akad. Suami pula harus meminta isteri meninggalkan kerjayanya walaupun sebelum ini ia membenarkannya, iaitu sekiranya meninggalkan pekerjaan itu dibuat atas tujuan kepentingan keluarga dan anak-anak. Tidak harus, pada pandangan syara' bagi seorang suami untuk menjadikan keizinannya kepada isteri untuk bekerja dengan syarat isteri hendaklah membantu perbelanjaan keluarga yang diwajibkan ke atas suami; tidak harus juga suami mensyaratkan isteri memberi sebahagian daripada pendapatannya kepada suami.

6. Perkongsian isteri dalam pemilikan harta
Apabila isteri benar-benar turut menyumbang harta dan pendapatannya bagi mendapatkan dan memilki rumah, aset tetap atau sebarang projek perniagaan, ketika itu isteri mempunyai hak perkongsian pemilikan terhadap rumah atau projek tersebut mengikut kadar harta yang disumbangkannya.

7. Penyalahgunaan hak dalam bidang pekerjaan
Sebuah perkahwinan itu mempunyai beberpaa kewajiban bersama yang patut ditanggung oleh pasangan suami isteri dan ia ditentukan oleh Shariah Islam dengan jelas. Justeru hendaklah perhubungan antara suami isteri dibina adalah landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Sebarang tindakan yang melangkaui batasan berkenaan adalah haram pada kacamata syara'. Seorang suami tidak harus menyalahgunakan haknya sebagai suami untuk menghalang isteri bekerja atau memintanya meninggalkan kerjayanya sekiranya ia hanya bertujuan untuk memudaratkannya (isteri) atau diyakini tindakan itu hanya akan menyebabkan keburukan melebihi kepentingan yang diperolehi. Demikian juga halnya ke atas isteri (tidak harus menyalahgunakan keizinan dan hak yang diberikan), iaitu jika ia berterusan dengan kerjayanya hingga menyebabkan mudarat kepada suami dan keluarga atau melebihi maslahat yang diharapkan.

Comments