𝗕𝗼𝗹𝗲𝗵𝗸𝗮𝗵 𝗶𝘀𝘁𝗲𝗿𝗶 𝗺𝗲𝗻𝘂𝗻𝘁𝘂𝘁 𝘁𝘂𝗻𝗴𝗴𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗻𝗮𝗳𝗸𝗮𝗵?



𝗕𝗼𝗹𝗲𝗵𝗸𝗮𝗵 𝗶𝘀𝘁𝗲𝗿𝗶 𝗺𝗲𝗻𝘂𝗻𝘁𝘂𝘁 𝘁𝘂𝗻𝗴𝗴𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗻𝗮𝗳𝗸𝗮𝗵?

Apa pendapat rakan pembaca sekalian? 

Boleh ke isteri-isteri menuntut tunggakan nafkah daripada suami? 
Ada dalil ke yang membolehkan isteri-isteri menuntut tunggakan nafkah daripada suami? 
Dulu tak pernah pun nak tuntut... kenapa sekarang baru nak tuntut?

Pelbagai persoalan tentunya bermain di fikiran suami-suami dan isteri-isteri. Bagi yang belum berumahtangga, ini merupakan satu `ilmu pengetahuan' yang amat berguna. Tentunya masa kursus pra-perkahwinan, penceramah ada memaklumkan tentang tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Kalau ada yang `miss' tanpa sebab yang munasabah, maka para isteri dah nampak jalan cara nak memohon nafkah yang tertunggak atau terhutang tersebut.

Di dalam ayat al-Quran yang berbunyi :
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّهُ وَاللاَّتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلاَ تَبْغُواْ عَلَيْهِنَّ سَبِيلاً إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا
maksudnya :
Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Ayat di atas merupakan asas bagi hak wanita untuk menerima nafkah daripada suami. Perkataan `anfaqu' yang digunakan dalam ayat di atas berasal daripada perkataan nafaqa yang membawa maksud tanggung atau sara.

Nafkah merupakan hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami. 

Nabi saw bersabda yang bermaksud : "Takutlah kepada Allah dalam urusan wanita (isteri). Sesungguhnya mereka laksana tawanan di sisi kamu" Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah. Dihalalkan untuk kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah (aqad nikah). Wajib ke atas kamu rezeki mereka dan pakaian mereka dengan cara yang makruf. (An-Nasaie).

Peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 :
======================

Seksyen 59. Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan kesan nusyuz
(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.
Seksyen 69. Menuntut tunggakan nafkah
(1) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya.
Seksyen 66. Kuasa Mahkamah untuk mengubah perintah nafkah
Mahkamah boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah, atau boleh pada bila-bila masa membatalkan, sesuatu perintah nafkah yang masih berkuat kuasa, sama ada dengan jaminan atau tanpa jaminan, atas permohonan orang yang berhak menerima atau yang kena membayar nafkah itu menurut perintah yang telah dibuat itu, jika Mahkamah berpuas hati, bahawa perintah itu telah diasaskan atas apa-apa salah nyata atau kesilapan fakta atau jika sesuatu perubahan material telah berlaku tentang hal keadaan.
Seksyen 77. Menuntut tunggakan nafkah seseorang anak
Seksyen 69 hendaklah dipakai, dengan pindaan yang sesuai, dan mengikut Hukum Syarak bagi perintah mengenai pembayaran nafkah untuk faedah seseorang anak.

Comments