Harta Sepencarian - Membawa Bahagia Bukan Mengirim Duka




Harta Sepencarian - Membawa Bahagia Bukan Mengirim Duka

Bab-bab harta ni sensitif nak bincang. Kalau sebut, takut-takut timbul isu lain.
"Awak ni terlalu berkiralah. Awak ni mata duitan lah."
"Awak ni sayang saya ke sayang harta?"

Biasanya pasangan muda yang baru mendirikan rumahtangga belum serius berfikir isu harta atau tidak terlalu berkira bab harta. Pasangan yang dah lama berumahtangga pula risaukan pasangan tersinggung jika berbincang bab-bab harta. Biasanya pasangan mula berbincang tentang harta sepencarian bila dah timbul isu seperti suami nak berkahwin lain, tuntutan selepas perceraian, dan selepas suami meninggal dunia.

Pelbagai istilah digunakan untuk harta sepencarian, antaranya:
“Carian laki-bini” bagi masyarakat Melayu di Negeri Sembilan,
“pencarian” bagi masyarakat Melayu Sarawak,
“pencurian” bagi masyarakat Islam Mindanau, Sarawak,
“hareuta sihareukat” di Acheh,
“gano-gina” di jawa,
“harta suarang” bagi masyarakat Minangkabau,
“guna-kaya” bagi masyarakat Sunda, dan
“druwe bagro’ bagi masyarakat Bali

Saya ada beri ceramah dan program sembang santai tentang Harta Sepencarian. Alhamdulillah, ramai juga para bapa dan suami-suami yang hadir dan melontarkan persoalan-persoalan harta sepencarian secara terbuka. Para ibu dan isteri selalunya lebih 95% hadir dalam siri ceramah perundangan. Beruntung para suami mempunyai isteri yang rajin menambah ilmu.

Dalam ceramah / bengkel tersebut, ada suami yang berhasrat untuk memberikan bahagian harta kepada isteri sedia ada kerana ingin berkahwin kali kedua. Ada yang ingin menghadiahkan buat isteri untuk masa depan isteri dan anak-anak kerana telah mengidap penyakit. Ada juga mula berfikirkan tentang pembahagian harta kepada isteri dan anak-anak perempuan sebelum faraid. 

Dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam, harta sepencarian didefinisikan sebagai "harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak”.

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi oleh pasangan suami isteri samaada secara langsung atau tidak dalam tempoh perkahwinan mereka mengikut ketetapan hukum syarak. Antara syarat sesuatu harta itu boleh dituntut sebagai harta sepencarian dan harta itu hendaklah dimiliki setelah perkahwinan dan harta itu mestilah atas usaha kedua-dua pihak secara bersama termasuk sumbangan kewangan, tenaga ,moral dan sebagainya.


Antara persoalan harta sepencarian :
1. Isteri suri rumah, suami bekerja makan gaji. Suami membeli rumah didaftarkan atas nama suami seorang. Isteri tidak menyumbang apa-apa terhadap kos pembelian rumah. Adakah isteri berhak terhadap rumah tersebut?
2. Isteri bekerja makan gaji, suami bekerja sendiri. Isteri beli rumah didaftarkan atas nama isteri. Suami menyumbang bayar deposit pembelian rumah, renovation rumah, dan bayar sebahagian wang ansuran bulanan rumah. Adakah suami berhak terhadap rumah tersebut?
3. Suami isteri bekerja sendiri. Suami beli rumah daftar suami. Suami meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya. Perkahwinan di Thailand masih tidak didaftarkan. Adakah isteri berhak ke atas rumah tersebut?
4. Tanah sawit ialah tanah pusaka nama isteri. Suami keluarkan kos dan usahakan untuk tanaman sawit sejak kahwin 10 tahun lalu. Itulah mata pencarian utama mereka suami isteri. Rumah juga didirikan di atas lot tanah yang sama hasil jualan sawit. Isteri telah meninggal dunia kerana cancer dan tiada anak kandung. Ada dua orang anak angkat. Adik beradik isteri ada 4 orang lelaki dan seorang perempuan. Adakah suami boleh tuntut harta sepencarian?


Oleh yang demikian, saya sarankan agar suami isteri hendaklah berlapang dada dan terbuka untuk berbincang isu harta sepencarian. Janganlah bila nak berpoligami, baru nak mendedahkan segala harta dan wang simpanan yang ada untuk membuktikan kelayakan dan kemampuan dari segi harta.

Dan janganlah pula, apabila kematian menjemput, susah payah isteri atau isteri-isteri berusaha mengumpul segala maklumat harta untuk tujuan harta sepencarian dan faraid. Jika lewat selesai, ia akan mengundang pelbagai rasa tidak puas hati di kalangan ahli waris, atau di kalangan isteri-isteri, bahkan ia akan menimbulkan rasa salah sangka antara satu sama lain.

Yang paling menyedihkan, ia menyebabkan kesukaran kepada isteri-isteri untuk menguruskan perbelanjaan rumahtangga dan pendidikan anak-anak.

Bila dah berlaku kematian, waris-waris si mati seeloknya berlapang dada dan berikanlah bahagian harta sepencarian isteri atau suami si mati. Berbincanglah secara baik. Mereka juga ada tanggungan. Mereka juga ada hutang. Mereka telah hidup bersama bertahun, berbelas tahun, berpuluh tahun mengusahakan dan mendapatkan harta tersebut.

Bukan mudah untuk menjaga sensitiviti ibu ayah mertua dan ipar duai. Tak pasal-pasal boleh kena depression dan anxiety jika tak kuatkan mental dan emosi tau!

Comments