Keluarga Asas Pertama Pembentukan Masyarakat
Surah Ar-Rum ayat 21 : "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Allah telah menciptakan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, agar kamu merasa tenteram dengannya, kemudian Allah menjadikan rasa kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya lah, di dalam hal yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi orang-orang yang (mahu) berfikir"
Perkahwinan ialah satu ikatan perjanjian antara suami dan isteri yang ditegakkan atas dasar saling mengerti, saling mencintai, saling berkasih sayang, saling hormat menghormati, saling tolong menolong, memelihara kesucian diri dan menjaga keselamatan bersama.
Allah yang menjadikan dan mewujudkan rasa kasih sayang di antara suami isteri sebagai tanda kekuasaan-Nya.
المودة حب الرجل امرأته
Qurtubi : Mawaddah itu adalah kasihnya seorang suami terhadap isterinya
Al-Mawaddah juga ditafsirkan sebagai perasaan cinta dan kasih sayang antara suami isteri yang melahirkan kesenian, keikhlasan dan saling hormat menghormati, tolong menolong antara suami isteri.
الرحمة رحمته إياها أن يصيبها بسوء
Qurtubi : Al-Rahmah itu adalah belasnya dan ambil tahunya seorang lelaki ke atas isterinya apabila dia ditimpa kesusahan dan keburukan.
Al-Rahmah dimaksudkan dengan perasaan belas kasihan, toleransi, lemah-lembut yang selalunya diikuti oleh ketinggian budi pekerti dan akhlak yang mulia.
Menurut Prof. Dr Hamka, rahmah lebih tinggi kedudukannya daripada mawaddah sebab ia kasih mesra di antara suami isteri yang bukan lagi berasaskan keinginan syahwat, sebaliknya rasa kasih sayang murni yang tumbuh dari jiwa yang paling dalam sehingga suami isteri merasakan kebahagiaan yang tidak bertepi dan ketenangan yang tidak berbatas.
Al-Sakinah yang membawa maksud ketenangan, ketenteraman, kedamaian jiwa yang difahami dengan suasana damai yang melingkupi rumahtangga di mana suami isteri yang menjalankan perintah Allah SWT dengan tekun, saling menghormati dan saling toleransi.
Dalam al-Quran ia disebutkan sebanyak enam kali serta dijelaskan bahawa sakinah itu telah didatangkan oleh Allah SWT ke dalam hati para Nabi dan orang-orang yang beriman. Daripada suasana tenang (al-sakinah) tersebut maka akan timbul rasa saling mengasihi dan menyayangi (al-mawaddah).
Moga rumahtangga yang dibina penuh limpahan mawaddah wa rahmah dan dikurniakan sakinah.
Comments
Post a Comment