Lelaki itu Suamiku



𝗟𝗲𝗹𝗮𝗸𝗶 𝗶𝘁𝘂 𝗦𝘂𝗮𝗺𝗶𝗸𝘂

Tahniah kerana tuan berjaya melafazkan satu ikatan aqad yang melepaskan tanggungjawab si Ayah untuk menjaga anaknya kepada pihak Tuan. Si ayah memberi sepenuh kepercayaan kepada Tuan untuk menjaga, mendidik dan hidup bersama anak gadis kesayangannya dengan penuh kasih sayang.
Bukan semua lelaki berperanan sebagai suami yang bertanggungjawab. Terdapat kes perceraian berlaku walaupun hanya selepas beberapa minggu berumahtangga akibat isteri dipukul dan didera.
Sekarang banyak pihak yang celik mata dan bangun untuk membantu wanita-wanita yang teraniaya dan dizalimi. Pelbagai diskusi terbuka, diskusi tertutup, seminar dan pelbagai macam wadah digunakan untuk mendidik wanita dan masyarakat umum berkenaan hak-hak dan tanggungjawab-tanggungjawab lelaki dan wanita.
Ada juga agak lantang bersuara hingga menimbulkan rasa tidak selesa di hati kaum Adam. Ya, tidak semua lelaki yang tidak bertanggungjawab. Masih ramai lagi yang baik, soleh dan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Maka mengapakah seolah-olah dilontarkan kesemua kemarahan yang membuak-buak kepada semua lelaki disebabkan segelintir lelaki yang melakukan kezaliman, penganiayaan dan tidak mampu menunaikan tanggungjawab kelelakian?
Kenapa kaum Adam mendengar, mengeluh, kecewa dan 'defensive'? Tidak adakah yang boleh bangkit dan betulkan apa yang pincang di dalam unit kecil keluarga. Isu kecil? Isu remeh? Isu keluarga isu orang perempuan? Kami lelaki perlu fikirkan isu negara, isu yang lebih besar?
Maka isu kaum Adam sebagai Ketua Keluarga yang memimpin keluarga, kaum wanita yang perlu fikirkan penyelesaian? Rasa-rasa dari segi logiknya, bolehkah wanita selesaikan isu kepimpinan lelaki dalam keluarga? Bolehkah isteri membetulkan suami sebagai pemimpin dalam keluarga? 
Allah berfirman : 
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا
"... Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah), kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak" (An-Nisa : 19)
Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda : "Aku tekankan kepada kamu sekalian hak dua orang yang lemah, iaitu anak yatim dan wanita" (HR Hakim)
Dari Ibnu Abbas bahawa nabi saw bersabda : "Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik kepada keluarganya (isterinya) dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku (isteriku)" (HR Ibnu Majah)
Abdullah bin Amr bin al-'Ash bahawa Nabi saw bersabda : "Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya" (HR Ibnu Majah)
Wanita mudah dibentuk.
Wanita mudah dididik.
Wanita mudah menerima nasihat.
Fitrah wanita itu penuh kelembutan.
Cuma sekiranya kelembutan seseorang wanita hilang dan makin berkurang setelah berkahwin, maka timbullah persoalan, apa suaminya telah lakukan hingga wanita tersebut berkurang sifat kewanitaannya dan kelembutannya, sebaliknya bertambah sifat kecengilan dan kemarahan.
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
"Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka"
Terdapat suami yang ter'sesat' dalam menentukan halatuju rumahtangga dan mengharungi perjalanan hidup. Ada yang masih berfikiran sempit dan terkongkong dengan menganggap isteri hanyalah sebagai pemuas nafsu, tugas isteri melayani suami, mengemas rumah, menjaga anak-anak tanpa sebarang bantuan dihulurkan untuk meringankan tugasan si isteri. Bersikap 'boss' di dalam rumah, seolah-olah isteri sebagai pekerja tidak bergaji. 
Apatah lagi, dengan keegoan yang tinggi dan mendabik dada sebagai Ketua Keluarga, sukar pula untuk menerima pandangan, nasihat dan teguran si isteri. Walaupun isterinya seorang graduan universiti. 
Tahukah bahawa jika ia berlarutan si isteri akan mengalami depresi? Dan ia juga salah satu bentuk penderaan terhadap isteri.
Maka, wahai lelaki dan suami budiman di luar sana, marilah membantu sahabat-sahabat kaum Adam mu agar melaksanakan tanggungjawab yang lebih bermakna. Mereka juga inginkan rumahtangga yang bahagia seperti anda. Bantulah mereka agar mereka selamat dari kemurkaan Allah swt. Bantulah mereka agar dapat membawa keluarga mereka menuju keredhaan Allah swt dan selamat dari api neraka.
Jika fitrah wanita ialah mentaati lelaki sebagai suami dan pemimpin keluarga.
Maka fitrah lelaki ialah memimpin dan mendidik keluarga dengan kebaikan dan penuh kasih sayang.

Comments