Perkahwinan DiDasari Taqwa



Perkahwinan Didasari Taqwa

Sesungguhnya Islam mengisyaratkan agar perkahwinan didasari taqwa. 
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (An-Nisa : 1)

1. Manusia dicipta dari jiwa yang satu dan dari jiwa yang satu diciptakan isterinya. Dan dari keduanya, dikurniakan cahayamata dan membentuk keluarga.
2. Keluarga tidak dapat ditegakkan di atas satu binaan yang kukuh jika kaum wanita masih menerima layanan yang tidak adil dan dipandang rendah.
3. Anjuran bertaqwa kepada Allah swt dalam menjaga hubungan dan mempertahankan talian rahim dan kekeluargaan, memelihara hak-haknya agar tidak dizalimi.
4. Ayat diakhiri dengan satu peringatan tentang pengawasan Allah swt. Inilah satu pengawasan yang amat hebat kerana Allah sendiri yang menjadi pengawas.

Oleh itu wahai Wanita,
Sedarlah bahawa dirimu sangat dikasihi oleh Penciptamu.
Sedarlah bahawa Allah sentiasa mengawasimu dan menjagamu.
Sedarlah bahawa Allah tidak akan sesekali menyia-nyiakanmu.
Sungguh fitrah wanita itu lembut dan sifatnya mentaati.
Maka jika hilang ketaatan wanita terhadap ketuanya, lihatlah apa yang dilakukan oleh orang yang diberi amanah untuk menjaga dan memelihara hak-hak wanita.

1. 'Abdullah bin Ja'far bin Abi Talib r.a. berpesan kepada puterinya yang baru dinikahkan,
* Janganlah engkau cemburu, kerana cemburu itu kunci perceraian
* Janganlah engkau banyak menyalahkan suamimu, kerana hal itu dapat menimbulkan kebencian
* Hendaklah engkau selalu memakai celak, kerana celak itu merupakan hiasan terbaik
* Ketahuilah bahawa minyak wangi yang terbaik ialah air
(maksudnya : memelihara kebersihan badan dan pakaian lebih baik daripada memakai wangian)

2. Abu Darda r.a. berkata kepada isterinya : 'Bila engkau melihat aku sedang marah redakanlah perasaanku, dan bila aku melihat engkau sedang marah akan kuredakan perasaanmu. Jika tidak demikian kami tidak dapat saling berteman'

Comments