Rakan Anda Ingin Pisah
Anda Ingin Membantu tetapi kurang Ilmu?
Anda Ingin Membantu tetapi kurang Ilmu?
Bukan mudah untuk membuat keputusan untuk berpisah. Apatah lagi setelah puluhan tahun membina mahligai cinta. Dikurniakan deretan cahayamata sebagai tanda kasih.
Oleh itu, jika sekiranya ada rakan kita yang menyatakan untuk berpisah, itu adalah satu pengataan yang sangat sukar, walaupun rakan anda meluahkannya dengan wajah yang tersenyum. Kerana ketahuilah senyuman rakan anda itu palsu untuk mengaburi penderitaan yang dilaluinya.
Apa yang anda perlu lakukan sebagai seorang rakan apabila mendengar luahan hati rakan anda untuk berpisah?
1. Dengar dengan penuh empati. Pegang tangan rakan anda (sama jantina). Ketepikan handphone anda.
2. Biarkan rakan anda bercakap. Jangan ganggu percakapannya. Jangan potong percakapannya. Ini masa rakan anda untuk meluahkan segala rasa, bukan masa anda memberi pandangan atau meluahkan perasaan anda berkenaan rumahtangga anda.
3. Memberi respon ringkas sebagai tanda anda mendengar luahannya dan cuba memahami apa yang rakan anda lalui.
4. Jangan menghukum dan elakkan menyalahkan rakan anda.
5. Elakkan menggunakan ayat-ayat yang seolah-olah mengajar rakan anda, contoh : 'sepatutnya kau buat begini', 'kawan saya dulu macam ni juga, dia buat begini terus ok', 'apa kata kau buat begini'.
6. Tidak perlu mencadangkan penyelesaian jika tidak diminta.
7. Beri kata-kata semangat seperti 'Aku yakin kau boleh melaluinya. Kau tabah. Aku nampak kau kuat'.
8. Tidak perlulah memberi nasihat agar bersabar lagi. Jika rakan anda menyatakan untuk berpisah, biasanya tahap kesabarannya sudah tinggi.
9. Jangan bandingkan ujian yang rakan anda lalui dengan ujian orang lain lalui. Ia tidak sama!
10. Tawarkan bantuan. Tanya sama ada rakan anda perlukan apa-apa bantuan. Tawar diri untuk menemani ke mana-mana jika rakan anda perlukan. Contoh, menemani rakan anda ke hospital atau ke mahkamah, membantu mengambil anak sekolah.
11. Nyatakan kesediaan anda untuk meluangkan masa jika rakan anda ingin bertemu. Boleh tawarkan datang ke rumah, makan-makan bersama dan berbual. Pastikan tiada / kurang gangguan daripada ahli keluarga yang lain.
12. Sebutkan bahawa apa yang berlaku bukan salah rakan anda, rakan anda telah berusaha sedaya upaya dan akan tiba masanya untuk membuat pilihan dan keputusan terbaik untuk masa depan rakan anda.
13. Nyatakan bahawa rakan anda tidak sendirian. Ramai yang akan membantu jika diperlukan. Nyatakan akan beri sokongan untuk melalui ujian ini bersama.

Comments
Post a Comment